LAWATAN KERJA KETUA PENGARAH JABATAN TENAGA MANUSIA KE JMTI

 

JMTI, 12 JANUARI 2018 (JUMAAT) -  YBhg Datuk Muhd Khair Razman Bin Mohamed Annuar, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, JTM telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI). Turut hadir bersama adalah adalah Encik Mat Setia Bin Mohd Raji, Pengarah Pembangunan Kemahiran JTM dan Dr Azmir Bin Mohd Yunus, Pengarah Kawalan Teknikal JTM. Rombongan JTM telah tiba di JMTI pada jam 9 pagi dan terus dibawa ke Auditorium untuk mendengar taklimat ringkas yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengurusan Latihan JMTI, Puan Junnaina Binti Husin Chua. YBhg Datuk KP juga telah menyampaikan taklimat dan perkongsian ilmu beliau kepada semua kakitangan JMTI. 

Fokus utama lawatan kerja tersebut adalah untuk melihat Projek Revolusi Industri 4.0 yang sedang dibangunkan di JMTI. Selesai taklimat, YBhg Datuk KP telah dibawa untuk melawat Projek-projek IR 4.0 yang sedang dibangunkan oleh 4 Jabatan di JMTI. Antara Projek yang telah dilawati adalah Projek 'IOT & Augmented Reality' (AR) Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektronik (TKE), Projek 'Smart Flexible Manufacturing System' Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (TKM), Projek 'PC Condensation Prediction System' Jabatan Teknologi Kejuruteraan Komputer (TKK) dan Projek 'Smart Manufacturing System' Jabatan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (TKP). Daripada lawatan dan perkongsian maklumat ini, secara tidak langsung dapat mendedahkan Teknologi IR 4.0 yang sedang dibangunkan oleh JMTI kepada ILJTM yang lain.

Terima Kasih Ybhg Datuk KP dan wakil JTM kerana sudi membuat lawatan kerja ke JMTI.

 

Sedikit perkongsian berkenaan Revolusi Industri 4.0.

REVOLUSI Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing. Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Di­ikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya. Bagaimanapun, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal meran­cakkan kemajuan landskap dunia moden. Revolusi ini menandakan kemunculan sistem fizikal siber melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, mesin dan kaedah baharu teknologi. Dengan kata lain, teknologi automasi itu dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung. Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan. Jadi, sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global. Sudah tiba masanya sistem pendidikan tinggi di seluruh negara termasuk ILJTM untuk melakukan perubahan kepada Revolusi Industri 4.0.

© Hakcipta Terpelihara 2021 Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI)
  • Dikemaskini: Selasa 05 Oktober 2021.
25792 Jumlah Pelawat